Jumaat, 7 Oktober 2011

Tinjauan Awal

Suatu ketika dahulu, di sini banyak berlabuh dagang dan sentri.

Shariff sedang mendapatkan maklumat mengenai Linggi daripada Ijan (kiri)
dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Chembong
SEBAGAI penyelidik dan penulis untuk Galeri Linggi, saya dan Shariff Ahmad telah menghabiskan sebahagian hari kami di Linggi sejak jam 8.00 pagi. Di sini saya mendapat kerjasama rakan sekelas, Jo (Johari Kassim) yang berkahwin dan menginap di Kampung Nerasau, Lubuk China.
     Jo sudah menunggu lebih awal di Rilex Corner (Ayang) sambil di tangan terjenjeng sekilogram udang galah yang dibelinya di Sungai Timun. Udang masih menggeletek segar.
     "Udang sebesar ini yang paling sedap dimasak kuning," kata Jo tersengih.
Siti Adibah sempat merakam dua penyelidik ketika berada di menara
tinjau. Sewaktu turun, kami diberitahu oleh seorang pemancing Tionghua,
"Baik-baik ya, pangkal tiangnya sudah mula hendak tercabut!,"
     Seperti yang dirancang, kunjungan pertama untuk penyelidikan ini lebih berupa lawatan santai untuk melihat secara `overview' apa yang ada di Linggi hari ini.
    Melalui pembacaan lalu, kami tahu Linggi pernah menjadi pelabuhan entrepot yang dilakukan secara barter trade antara pedagang tempatan dan asing. Pedagang Bugis antara yang terawal ke sini dan peninggalannya masih boleh ditemui.
     Sewaktu hendak bertolak ke Pangkalan Kempas, Dato' Hamzah Kassim (peneraju utama Galeri Linggi) membuat panggilan dan meminta kami memberi perhatian kepada beberapa artifak. Antaranya Balai Pemungut Cukai, Tujuh Telaga Bugis dan tidak lupa merakam foto yang boleh mengaitkan Linggi dengan sejarah silamnya.
     Ternyata, Ijan (pemilik dua perahu tambang) yang ditemui sedang minum di gerai berhampiran jeti Pengkalan Kempas bersama guru besar Sekolah Kebangsaan Chembong (yang bermurah hati membelanja kami) banyak membantu.
     Satu temujanji termetri. Insya-Allah, kami bersama krew (foto dan video) akan dibawa oleh Ijan menghilir mudik di Sungai Linggi dari jam 2.00 petang hingga malam, Sabtu depan.
     "Pada hari itu nanti, abang boleh lihat apa yang diceritakan tadi," kata Ijan yang sudah banyak membantu penyelidik termasuk warga asing mengenai pengaruh Sungai Linggi dalam ketamadunan Negeri Sembilan Darul Khusus.
Teks& Foto: Zulkifli Abu dan Siti Adibah Zulkifli

Tiada ulasan:

Catat Ulasan