Isnin, 12 Disember 2011

Sungai Linggi: Bagai Dara Yang Belum Tersentuh


Di mana silapnya?
Rabu lalu (7 Disember 2011), aku bersama krew Storyteller Production Sdn Bhd (Shariff Ahmad, Rashid Manaf dan Zyaiful Baharudin) dan jurugambar RTM, Zubir Jamal menghilir mudik di Sungai Linggi dalam usaha mengenal lebih dekat salah satu laluan utama perdagangan pada abad ke-16 itu.
    Hasrat untuk ke sini tertangguh beberapa kali kerana ada sahaja urusan menghalang, lalu sewaktu Dato’ Haji Hamzah Kassim, peneraju utama Galeri Linggi sendiri berkelapangan ketika itu, Ijan (pengusaha bot) terus dihubungi.
Pemancing udang keriangan...

    Seperti yang dijanjikan, Ijan menunggu di jeti Pengkalan Kempas pada jam 2.00 petang dan menyerahkan tugas sebagai pemandu pelancong kepada rakannya, Zulkarnain Mat Som.
    Walaupun masih muda, Zulkarnain mampu memenuhi matlamat kami dengan membawa dan memberi penjelasan mengenai apa yang ditanya. Ternyata dia terlatih dalam bidang ini.
    Katanya, oleh kerana hari masih awal, dia mencadangkan supaya kami mudik ke hulu dahulu untuk melihat Keramat Bukit Tiga. Keramat sepanjang 30 kaki ini berada di tebing sungai dalam keadaan terbiar.
Bangau... terbang sambil mencecah air
    Menurut Zulkarnain, pihak yang pernah membuat kajian di sini mengandaikan jenis batu yang ada di keramat itu dibawa dari Indonesia.
    Kemudiannya kami menghilir ke muara. Kira-kira dua kilometer dari jeti Pengkalan Kempas, kami dibawa ke Balai Pemungut Cukai yang juga terbiar.
    Terfikir di hati, balai yang bersejarah dan lakaran bangunan yang pernah termuat dalam salah sebuah jurnal lama ini bagaikan tidak bermakna kepada pihak yang diberi amanah menguruskan artifak silam ini.
Beting Deraka tempat tidurnya

    Selain semak samun, kawasan berhampiran telahpun dijadikan ladang kelapa sawit. Kedudukannya yang strategik kerana berada di tanjung dan persimpangan Sungai Rembau dan Sungai Linggi bagai hilang serinya.
    Sewaktu menghilir, kami dapat melihat persekitaran yang menghijau sambil disapa bayu lembut. Terfikir lagi di hati, tidakkah cukup indah suasana ini bagi yang sedang bercinta atau yang ingin berbulan madu.
Persimpangan Sungai Rembau-Sungai Linggi

    Kedudukannya yang tidak jauh dari pantai pelancongan Port Dickson, memudahkan mereka datang ke sini. Bukankah Sungai Linggi boleh menjadi tarikan sokongan ke Port Dickson? Sekiranya ini berlaku, pelancong tidak sekadar bermalam di hotel atau apartmen mewah di tepi pantai malah boleh tinggal beberapa hari di chalet yang didirikan di beberapa tempat strategik di pesisir Sungai Linggi.
Berhampiran muara di jambatan Tanjong Agas

    Kalau Melaka boleh menarik ribuan pelancong semata-mata kerana adanya river-cruise di tengah kesibukan Bandar, Sungai Linggi jauh lebih menarik.
    Di sini pelancong boleh melihat buaya sehingga sebesar perahu dalam habitatnya dan sepanjang bulan November hingga Mac setiap tahun pula, pengunjung boleh menyaksikan ribuan bangau beraksi di permukaan air dan bermalam di Beting Deraka sewaktu senja.
    Sebelum menjejak kembali jeti Pengkalan Kempas, ribuan kelip-kelip (kunang-kunang) kelihatan berkelipan di pohon.
    Ingin menyaksikan segala-galanya ini? Hubungi Ijan (013-6833595) atau Zulkarnain Mat Som (012-2545034). Kami cuma dikenakan bayaran RM350.00 untuk perjalanan kira-kira enam jam itu.
Suasana romantik menjelang senja
Oleh: Zulkifli Abu Foto: Rashid Manaf & Zyaiful Baharudin

Portal Bugis di Malaysia

Untuk mendapat keterangan lanjut mengenai Bugis di Malaysia, portal ini boleh membantu.
http://portalbugis.wordpress.com/about-m/manusia-bugis-rantau-budayanya/sejarah-bugis-di-malaysia/

Khamis, 8 Disember 2011

Balai Pemungut Cukai


Kira-kira tiga kilometer dari jeti Pengkalan Kempas menuju ke muara berdekatan dengan Tanjung Sempang yang menemukan Sungai Rembau dan Linggi, terdapat Balai Cukai yang menjadi pusat mengutip cukai ke atas kapal dan bot yang melintasi kawasan berkenaan.
Tinggalan batu-batu konkrit lama yang berdiri sebaris adalah bukti nyata kehadiran Balai Pungutan Cukai (stockade). Ia terletak kira-kira 100 meter dari sungai.
Dipercayai balai ini lengkap dengan kediaman milik Lebai Kulop, pemungut cukai zaman itu.
Lokasi ini menjadi pilihan kerana ia amat strategik bagi laluan perahu dan kapal yang mudek ke hulu dan hilir dari arah muara di Tanjung Agas yang berada di sebelah Negeri Sembilan dan Kuala Linggi di Melaka.
Kedudukannya di tanjung membolehkan tahap penglihatan begitu jelas ke atas setiap perahu dan kapal yang melalui perairan itu. Antara muatan utama ialah bijih timah.  
SAYANG... Khazanah berharga ini dibiarkan begitu sahaja

Antara tiang utama Balai Pemungut Cukai

Tidak adakah pihak yang ingin memulihara tinggalan sejarah ini?

Keramat Bukit Tiga


Makam Bukit Tiga
Menyusuri Sungai Linggi kira-kira dua kilometer dari jeti Pengkalan Kempas, anda akan menemui Keramat Bukit Tiga yang dikatakan berusia ratusan tahun.
Makam tunggal ini dipercayai tempat bersemadinya seorang pendakwah terkenal seangkatan dengan Sheikh Ahmad Majnun yang disemadikan di Makam Sungai Udang. Namun nama pendakwah ini tidak diketahui.
Allahyarham juga dikatakan seangkatan dengan satu lagi nama besar di Mukim Linggi sekitar tahun 1875 iaitu Lebai Kulob yang bertindak selaku pemungut cukai di laluan sungai tersebut.
Keramat Bukit Tiga diberi nama mengambil sempena tiga kubur di kawasan ini. Selain makam tunggal yang berukuran 30 kaki  panjang dan 8 kaki lebar, dipercayai terdapat dua lagi kubur berdekatan – dikatakan pengapit kepada pendakwah berkenaan.
Makam lama ini terletak di tebing sungai di bahagian permukaan yang tinggi. Ia mudah dilihat dari arah sungai. Batu konkrit yang meliputi makam ini dipercayai di bawa dari Indonesia.
Makam ini berukuran 30 kaki X 8 kaki


Khamis, 1 Disember 2011

Sejarah Bugis di Linggi: Kertas Kerja Yang Komprehensif Mengenai Linggi


Kertas kerja yang ditulis Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari pada Konvensyen Antarabangsa Diaspora Bugis pada 25 November lalu ternyata dapat memberi gambaran yang jelas mengenai sejarah kedatangan Bugis di Linggi.
     Kertas kerja yang dibentangkan di konvensyen anjuran Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia ini setidak-tidaknya dapat mengetepikan pelbagai tanggapan silap sejarah kedatangan mereka di Linggi.
     “Ramai yang membuang masa dengan menelusuri sejarah Bugis sehingga sanggup hingga ke Makasar dan mengaitkannya dengan Bugis di Selangor. Ia mempunyai susur galur sejarahnya yang tersendiri,” katanya ketika ditemui semalam.
     Sebagai penyelidik dan penulis bebas, Mohd Khairil telah melakukan penyelidikan yang komprehensif mengenai Linggi sejak beberapa tahun lalu.
     Untuk melihat kertas kerja penuh, lihat di sini: http://nagarinansembilan.blogspot.com/

Khamis, 3 November 2011

Sekapur Sirih

YAM Dato' Muda Linggi, Dato' Haji Mohamad Basri Haji Omar memberikan
kerjasama erat agar sejarah Linggi dan peradabannya dikaji. Perkara ini dinyatakan
dalam beberapa pertemuan termasuk sewaktu bertemu dua minggu yang lalu. Pihak
kami amat terhutang budi dengan sokongan moral itu.

Seulas Pinang

Kata alu-aluan Peneraju Projek Menyusuri Sejarah Linggi, Dato' Haji Hamzah Kassim
dalam buku yang bakal diterbitkan dalam masa terdekat.

Khamis, 20 Oktober 2011

Siapa Dato Muda Linggi sekarang?

Foto:  warisanlinggi.blogspot.com

SIAPA yang memegang jawatan Dato Muda Linggi sekarang ini? Apakah peranan jawatan ini? Apakah bidang kuasanya? Apa perbezaan jawatan Dato Muda Linggi dengan Dato Shahbandar atau Dato Klana Putra Luak Sungai Ujong? Mari bersama-sama menyumbang bahan untuk menjawab persoalan ini.

Isnin, 17 Oktober 2011

Linggi: Gerbang Ketamadunan Negeri Sembilan Darul Khusus

Buku setebal 16 halaman tulisan Dato' Haji Hamzah Mohd Kassim ini memaparkan sejarah ringkas Linggi dan pelbagai potensi yang boleh dimajukan.
   Paling ketara, Linggi kaya dengan tinggalan warisan silam, destinasi pelancongan menarik (jeti Pengkalan Kempas, kunang-kunang, buaya berjemur, bangau di awal tahun, lubuk pemancing) dan tentunya program inap desa boleh dibangunkan di Permatang Pasir.
   Ciri-ciri kampung tradisinya masih utuh dan amalan hidup penduduknya boleh menjadi kajian (mereka tidak mengamalkan Adat Perpatih walaupun terletak di Negeri Sembilan).

Sejarah Awal Linggi

Untuk melihat sejarah awal Linggi, tulisan Norhalim Haji Ibrahim banyak boleh membantu. Tulisan ini terdapat dalam portal Universiti Kebangsaan Malaysia.
Lihat di sini: http://202.185.40.214/idc/groups/portal_aperpatih/documents/ukmpd/adat_00389.pdf


Rabu, 12 Oktober 2011

Matlamat Penubuhan Galeri Linggi

Peneraju Galeri Linggi, Dato' Haji Hamzah Mohd Kassim menjelaskan matlamat penubuhan Galeri Linggi. Lihat video di sini: http://www.youtube.com/watch?v=pg2izGulBt8

Sabtu, 8 Oktober 2011

Sejarah Awal Peranan Sungai Linggi

BAGI melihat peranan Sungai Linggi pada sekitar abad ke-17, saksikan petikan video terbitan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan ini. Video ini produksi Niagariang Sdn Bhd manakala penyelidik dan penulis skripnya ialah Samsudin Hamidan.
http://www.youtube.com/watch?v=3itw0w69fRI
Sesiapa yang memiliki klip video mengenai Linggi, sila kongsikannya di sini. Terima kasih.

Jumaat, 7 Oktober 2011

Tinjauan Awal

Suatu ketika dahulu, di sini banyak berlabuh dagang dan sentri.

Shariff sedang mendapatkan maklumat mengenai Linggi daripada Ijan (kiri)
dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Chembong
SEBAGAI penyelidik dan penulis untuk Galeri Linggi, saya dan Shariff Ahmad telah menghabiskan sebahagian hari kami di Linggi sejak jam 8.00 pagi. Di sini saya mendapat kerjasama rakan sekelas, Jo (Johari Kassim) yang berkahwin dan menginap di Kampung Nerasau, Lubuk China.
     Jo sudah menunggu lebih awal di Rilex Corner (Ayang) sambil di tangan terjenjeng sekilogram udang galah yang dibelinya di Sungai Timun. Udang masih menggeletek segar.
     "Udang sebesar ini yang paling sedap dimasak kuning," kata Jo tersengih.
Siti Adibah sempat merakam dua penyelidik ketika berada di menara
tinjau. Sewaktu turun, kami diberitahu oleh seorang pemancing Tionghua,
"Baik-baik ya, pangkal tiangnya sudah mula hendak tercabut!,"
     Seperti yang dirancang, kunjungan pertama untuk penyelidikan ini lebih berupa lawatan santai untuk melihat secara `overview' apa yang ada di Linggi hari ini.
    Melalui pembacaan lalu, kami tahu Linggi pernah menjadi pelabuhan entrepot yang dilakukan secara barter trade antara pedagang tempatan dan asing. Pedagang Bugis antara yang terawal ke sini dan peninggalannya masih boleh ditemui.
     Sewaktu hendak bertolak ke Pangkalan Kempas, Dato' Hamzah Kassim (peneraju utama Galeri Linggi) membuat panggilan dan meminta kami memberi perhatian kepada beberapa artifak. Antaranya Balai Pemungut Cukai, Tujuh Telaga Bugis dan tidak lupa merakam foto yang boleh mengaitkan Linggi dengan sejarah silamnya.
     Ternyata, Ijan (pemilik dua perahu tambang) yang ditemui sedang minum di gerai berhampiran jeti Pengkalan Kempas bersama guru besar Sekolah Kebangsaan Chembong (yang bermurah hati membelanja kami) banyak membantu.
     Satu temujanji termetri. Insya-Allah, kami bersama krew (foto dan video) akan dibawa oleh Ijan menghilir mudik di Sungai Linggi dari jam 2.00 petang hingga malam, Sabtu depan.
     "Pada hari itu nanti, abang boleh lihat apa yang diceritakan tadi," kata Ijan yang sudah banyak membantu penyelidik termasuk warga asing mengenai pengaruh Sungai Linggi dalam ketamadunan Negeri Sembilan Darul Khusus.
Teks& Foto: Zulkifli Abu dan Siti Adibah Zulkifli

Khamis, 6 Oktober 2011

Salam Pengenalan

Dato' Haji Hamzah Mohd Kassim
Assalamualaikum w.b.t.
Dengan penuh takzim, saya menghulur tangan lambang salam persaudaraan kepada seluruh anak Linggi sama ada yang masih berada di tanah leluhur atau yang berada di seluruh pelusuk alam. Kapal Bugis yang mendominasi logo blog ini dan akaun Facebook adalah manifestasi kekentalan semangat juang anak Linggi yang diwarisi sehingga memungkinkan tercipta gelaran `Linggi Gerbang Peradaban Negeri Sembilan.'
     Usaha untuk menghimpunkan kekuatan anak Linggi telah mula digerakkan sejak beberapa tahun lalu dan kini gerakan itu perlu diperkasa melalui pelbagai strategi termasuk penggunaan rangkaian sosial Facebook dan blog.
     Melalui kedua-dua medium ini dan sokongan media lain, adalah diharapkan anak-anak Linggi dan mereka yang berkaitan dengannya dapat menelusuri warisan bangsa yang telah dapat membuktikan kehebatannya. Kalau China boleh berbangga dengan The Art Of War melalui Sun Tzu, mengapa tidak dengan kita. Pemikiran Strategik Bugis yang kita warisi perlu digali dan diteliti.
     Tanpa berhasrat mengembangkan Assabiah, Linggi sewajarnya berbangga dengan tokoh-tokoh yang dilahirkan. Antaranya sudah pasti Pendeta Za'ba (walaupun lahir di Bukit Kerdas, Batu Kikir tetapi ayahnya orang Linggi dan beliau sendiri membesar di sini), Tan Sri Dato' Dr. Mohd Said bin Muhammad (Menteri Besar Negeri Sembilan ketiga selepas merdeka), Tan Sri Datuk Lokman Yusof (Datuk Bandar pertama Kuala Lumpur) dan ramai lagi.
     Tentunya apa yang kita lakukan bersama-sama tidak akan sekadar tinggal di kertas dan layar monitor. Sesuatu yang konkrit perlu dijadikan realiti: realiti itu bernama Galeri Linggi.