Khamis, 6 Oktober 2011

Salam Pengenalan

Dato' Haji Hamzah Mohd Kassim
Assalamualaikum w.b.t.
Dengan penuh takzim, saya menghulur tangan lambang salam persaudaraan kepada seluruh anak Linggi sama ada yang masih berada di tanah leluhur atau yang berada di seluruh pelusuk alam. Kapal Bugis yang mendominasi logo blog ini dan akaun Facebook adalah manifestasi kekentalan semangat juang anak Linggi yang diwarisi sehingga memungkinkan tercipta gelaran `Linggi Gerbang Peradaban Negeri Sembilan.'
     Usaha untuk menghimpunkan kekuatan anak Linggi telah mula digerakkan sejak beberapa tahun lalu dan kini gerakan itu perlu diperkasa melalui pelbagai strategi termasuk penggunaan rangkaian sosial Facebook dan blog.
     Melalui kedua-dua medium ini dan sokongan media lain, adalah diharapkan anak-anak Linggi dan mereka yang berkaitan dengannya dapat menelusuri warisan bangsa yang telah dapat membuktikan kehebatannya. Kalau China boleh berbangga dengan The Art Of War melalui Sun Tzu, mengapa tidak dengan kita. Pemikiran Strategik Bugis yang kita warisi perlu digali dan diteliti.
     Tanpa berhasrat mengembangkan Assabiah, Linggi sewajarnya berbangga dengan tokoh-tokoh yang dilahirkan. Antaranya sudah pasti Pendeta Za'ba (walaupun lahir di Bukit Kerdas, Batu Kikir tetapi ayahnya orang Linggi dan beliau sendiri membesar di sini), Tan Sri Dato' Dr. Mohd Said bin Muhammad (Menteri Besar Negeri Sembilan ketiga selepas merdeka), Tan Sri Datuk Lokman Yusof (Datuk Bandar pertama Kuala Lumpur) dan ramai lagi.
     Tentunya apa yang kita lakukan bersama-sama tidak akan sekadar tinggal di kertas dan layar monitor. Sesuatu yang konkrit perlu dijadikan realiti: realiti itu bernama Galeri Linggi.

Tiada ulasan:

Catat Komen