Khamis, 20 Oktober 2011

Siapa Dato Muda Linggi sekarang?

Foto:  warisanlinggi.blogspot.com

SIAPA yang memegang jawatan Dato Muda Linggi sekarang ini? Apakah peranan jawatan ini? Apakah bidang kuasanya? Apa perbezaan jawatan Dato Muda Linggi dengan Dato Shahbandar atau Dato Klana Putra Luak Sungai Ujong? Mari bersama-sama menyumbang bahan untuk menjawab persoalan ini.

Isnin, 17 Oktober 2011

Linggi: Gerbang Ketamadunan Negeri Sembilan Darul Khusus

Buku setebal 16 halaman tulisan Dato' Haji Hamzah Mohd Kassim ini memaparkan sejarah ringkas Linggi dan pelbagai potensi yang boleh dimajukan.
   Paling ketara, Linggi kaya dengan tinggalan warisan silam, destinasi pelancongan menarik (jeti Pengkalan Kempas, kunang-kunang, buaya berjemur, bangau di awal tahun, lubuk pemancing) dan tentunya program inap desa boleh dibangunkan di Permatang Pasir.
   Ciri-ciri kampung tradisinya masih utuh dan amalan hidup penduduknya boleh menjadi kajian (mereka tidak mengamalkan Adat Perpatih walaupun terletak di Negeri Sembilan).

Sejarah Awal Linggi

Untuk melihat sejarah awal Linggi, tulisan Norhalim Haji Ibrahim banyak boleh membantu. Tulisan ini terdapat dalam portal Universiti Kebangsaan Malaysia.
Lihat di sini: http://202.185.40.214/idc/groups/portal_aperpatih/documents/ukmpd/adat_00389.pdf


Rabu, 12 Oktober 2011

Matlamat Penubuhan Galeri Linggi

Peneraju Galeri Linggi, Dato' Haji Hamzah Mohd Kassim menjelaskan matlamat penubuhan Galeri Linggi. Lihat video di sini: http://www.youtube.com/watch?v=pg2izGulBt8

Sabtu, 8 Oktober 2011

Sejarah Awal Peranan Sungai Linggi

BAGI melihat peranan Sungai Linggi pada sekitar abad ke-17, saksikan petikan video terbitan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan ini. Video ini produksi Niagariang Sdn Bhd manakala penyelidik dan penulis skripnya ialah Samsudin Hamidan.
http://www.youtube.com/watch?v=3itw0w69fRI
Sesiapa yang memiliki klip video mengenai Linggi, sila kongsikannya di sini. Terima kasih.

Jumaat, 7 Oktober 2011

Tinjauan Awal

Suatu ketika dahulu, di sini banyak berlabuh dagang dan sentri.

Shariff sedang mendapatkan maklumat mengenai Linggi daripada Ijan (kiri)
dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Chembong
SEBAGAI penyelidik dan penulis untuk Galeri Linggi, saya dan Shariff Ahmad telah menghabiskan sebahagian hari kami di Linggi sejak jam 8.00 pagi. Di sini saya mendapat kerjasama rakan sekelas, Jo (Johari Kassim) yang berkahwin dan menginap di Kampung Nerasau, Lubuk China.
     Jo sudah menunggu lebih awal di Rilex Corner (Ayang) sambil di tangan terjenjeng sekilogram udang galah yang dibelinya di Sungai Timun. Udang masih menggeletek segar.
     "Udang sebesar ini yang paling sedap dimasak kuning," kata Jo tersengih.
Siti Adibah sempat merakam dua penyelidik ketika berada di menara
tinjau. Sewaktu turun, kami diberitahu oleh seorang pemancing Tionghua,
"Baik-baik ya, pangkal tiangnya sudah mula hendak tercabut!,"
     Seperti yang dirancang, kunjungan pertama untuk penyelidikan ini lebih berupa lawatan santai untuk melihat secara `overview' apa yang ada di Linggi hari ini.
    Melalui pembacaan lalu, kami tahu Linggi pernah menjadi pelabuhan entrepot yang dilakukan secara barter trade antara pedagang tempatan dan asing. Pedagang Bugis antara yang terawal ke sini dan peninggalannya masih boleh ditemui.
     Sewaktu hendak bertolak ke Pangkalan Kempas, Dato' Hamzah Kassim (peneraju utama Galeri Linggi) membuat panggilan dan meminta kami memberi perhatian kepada beberapa artifak. Antaranya Balai Pemungut Cukai, Tujuh Telaga Bugis dan tidak lupa merakam foto yang boleh mengaitkan Linggi dengan sejarah silamnya.
     Ternyata, Ijan (pemilik dua perahu tambang) yang ditemui sedang minum di gerai berhampiran jeti Pengkalan Kempas bersama guru besar Sekolah Kebangsaan Chembong (yang bermurah hati membelanja kami) banyak membantu.
     Satu temujanji termetri. Insya-Allah, kami bersama krew (foto dan video) akan dibawa oleh Ijan menghilir mudik di Sungai Linggi dari jam 2.00 petang hingga malam, Sabtu depan.
     "Pada hari itu nanti, abang boleh lihat apa yang diceritakan tadi," kata Ijan yang sudah banyak membantu penyelidik termasuk warga asing mengenai pengaruh Sungai Linggi dalam ketamadunan Negeri Sembilan Darul Khusus.
Teks& Foto: Zulkifli Abu dan Siti Adibah Zulkifli

Khamis, 6 Oktober 2011

Salam Pengenalan

Dato' Haji Hamzah Mohd Kassim
Assalamualaikum w.b.t.
Dengan penuh takzim, saya menghulur tangan lambang salam persaudaraan kepada seluruh anak Linggi sama ada yang masih berada di tanah leluhur atau yang berada di seluruh pelusuk alam. Kapal Bugis yang mendominasi logo blog ini dan akaun Facebook adalah manifestasi kekentalan semangat juang anak Linggi yang diwarisi sehingga memungkinkan tercipta gelaran `Linggi Gerbang Peradaban Negeri Sembilan.'
     Usaha untuk menghimpunkan kekuatan anak Linggi telah mula digerakkan sejak beberapa tahun lalu dan kini gerakan itu perlu diperkasa melalui pelbagai strategi termasuk penggunaan rangkaian sosial Facebook dan blog.
     Melalui kedua-dua medium ini dan sokongan media lain, adalah diharapkan anak-anak Linggi dan mereka yang berkaitan dengannya dapat menelusuri warisan bangsa yang telah dapat membuktikan kehebatannya. Kalau China boleh berbangga dengan The Art Of War melalui Sun Tzu, mengapa tidak dengan kita. Pemikiran Strategik Bugis yang kita warisi perlu digali dan diteliti.
     Tanpa berhasrat mengembangkan Assabiah, Linggi sewajarnya berbangga dengan tokoh-tokoh yang dilahirkan. Antaranya sudah pasti Pendeta Za'ba (walaupun lahir di Bukit Kerdas, Batu Kikir tetapi ayahnya orang Linggi dan beliau sendiri membesar di sini), Tan Sri Dato' Dr. Mohd Said bin Muhammad (Menteri Besar Negeri Sembilan ketiga selepas merdeka), Tan Sri Datuk Lokman Yusof (Datuk Bandar pertama Kuala Lumpur) dan ramai lagi.
     Tentunya apa yang kita lakukan bersama-sama tidak akan sekadar tinggal di kertas dan layar monitor. Sesuatu yang konkrit perlu dijadikan realiti: realiti itu bernama Galeri Linggi.