Isnin, 12 Disember 2011

Sungai Linggi: Bagai Dara Yang Belum Tersentuh


Di mana silapnya?
Rabu lalu (7 Disember 2011), aku bersama krew Storyteller Production Sdn Bhd (Shariff Ahmad, Rashid Manaf dan Zyaiful Baharudin) dan jurugambar RTM, Zubir Jamal menghilir mudik di Sungai Linggi dalam usaha mengenal lebih dekat salah satu laluan utama perdagangan pada abad ke-16 itu.
    Hasrat untuk ke sini tertangguh beberapa kali kerana ada sahaja urusan menghalang, lalu sewaktu Dato’ Haji Hamzah Kassim, peneraju utama Galeri Linggi sendiri berkelapangan ketika itu, Ijan (pengusaha bot) terus dihubungi.
Pemancing udang keriangan...

    Seperti yang dijanjikan, Ijan menunggu di jeti Pengkalan Kempas pada jam 2.00 petang dan menyerahkan tugas sebagai pemandu pelancong kepada rakannya, Zulkarnain Mat Som.
    Walaupun masih muda, Zulkarnain mampu memenuhi matlamat kami dengan membawa dan memberi penjelasan mengenai apa yang ditanya. Ternyata dia terlatih dalam bidang ini.
    Katanya, oleh kerana hari masih awal, dia mencadangkan supaya kami mudik ke hulu dahulu untuk melihat Keramat Bukit Tiga. Keramat sepanjang 30 kaki ini berada di tebing sungai dalam keadaan terbiar.
Bangau... terbang sambil mencecah air
    Menurut Zulkarnain, pihak yang pernah membuat kajian di sini mengandaikan jenis batu yang ada di keramat itu dibawa dari Indonesia.
    Kemudiannya kami menghilir ke muara. Kira-kira dua kilometer dari jeti Pengkalan Kempas, kami dibawa ke Balai Pemungut Cukai yang juga terbiar.
    Terfikir di hati, balai yang bersejarah dan lakaran bangunan yang pernah termuat dalam salah sebuah jurnal lama ini bagaikan tidak bermakna kepada pihak yang diberi amanah menguruskan artifak silam ini.
Beting Deraka tempat tidurnya

    Selain semak samun, kawasan berhampiran telahpun dijadikan ladang kelapa sawit. Kedudukannya yang strategik kerana berada di tanjung dan persimpangan Sungai Rembau dan Sungai Linggi bagai hilang serinya.
    Sewaktu menghilir, kami dapat melihat persekitaran yang menghijau sambil disapa bayu lembut. Terfikir lagi di hati, tidakkah cukup indah suasana ini bagi yang sedang bercinta atau yang ingin berbulan madu.
Persimpangan Sungai Rembau-Sungai Linggi

    Kedudukannya yang tidak jauh dari pantai pelancongan Port Dickson, memudahkan mereka datang ke sini. Bukankah Sungai Linggi boleh menjadi tarikan sokongan ke Port Dickson? Sekiranya ini berlaku, pelancong tidak sekadar bermalam di hotel atau apartmen mewah di tepi pantai malah boleh tinggal beberapa hari di chalet yang didirikan di beberapa tempat strategik di pesisir Sungai Linggi.
Berhampiran muara di jambatan Tanjong Agas

    Kalau Melaka boleh menarik ribuan pelancong semata-mata kerana adanya river-cruise di tengah kesibukan Bandar, Sungai Linggi jauh lebih menarik.
    Di sini pelancong boleh melihat buaya sehingga sebesar perahu dalam habitatnya dan sepanjang bulan November hingga Mac setiap tahun pula, pengunjung boleh menyaksikan ribuan bangau beraksi di permukaan air dan bermalam di Beting Deraka sewaktu senja.
    Sebelum menjejak kembali jeti Pengkalan Kempas, ribuan kelip-kelip (kunang-kunang) kelihatan berkelipan di pohon.
    Ingin menyaksikan segala-galanya ini? Hubungi Ijan (013-6833595) atau Zulkarnain Mat Som (012-2545034). Kami cuma dikenakan bayaran RM350.00 untuk perjalanan kira-kira enam jam itu.
Suasana romantik menjelang senja
Oleh: Zulkifli Abu Foto: Rashid Manaf & Zyaiful Baharudin

1 ulasan:

  1. salam dato, maaf bertanya,saya pelajar dari USM nak mengetahui lebih lanjut mengenai tempat habitat kunang-kunang tersebut.. boleh ke saya dapatkan no telephone en.zulkarnain tersebut?saya mahu ke kawasan tersebut

    BalasPadam