![]() |
Di mana silapnya? |
Rabu
lalu (7 Disember 2011), aku bersama krew Storyteller Production Sdn Bhd
(Shariff Ahmad, Rashid Manaf dan Zyaiful Baharudin) dan jurugambar RTM, Zubir
Jamal menghilir mudik di Sungai Linggi dalam usaha mengenal lebih dekat salah
satu laluan utama perdagangan pada abad ke-16 itu.
Hasrat untuk ke sini tertangguh beberapa
kali kerana ada sahaja urusan menghalang, lalu sewaktu Dato’ Haji Hamzah
Kassim, peneraju utama Galeri Linggi sendiri berkelapangan ketika itu, Ijan
(pengusaha bot) terus dihubungi.
![]() |
Pemancing udang keriangan... |
Seperti yang dijanjikan, Ijan menunggu di jeti Pengkalan Kempas pada jam 2.00 petang dan menyerahkan tugas sebagai pemandu pelancong kepada rakannya, Zulkarnain Mat Som.
Walaupun masih muda, Zulkarnain mampu
memenuhi matlamat kami dengan membawa dan memberi penjelasan mengenai apa yang
ditanya. Ternyata dia terlatih dalam bidang ini.
Katanya, oleh kerana hari masih awal, dia mencadangkan
supaya kami mudik ke hulu dahulu untuk melihat Keramat Bukit Tiga. Keramat
sepanjang 30 kaki ini berada di tebing sungai dalam keadaan terbiar.
![]() |
Bangau... terbang sambil mencecah air |
Menurut Zulkarnain, pihak yang pernah
membuat kajian di sini mengandaikan jenis batu yang ada di keramat itu dibawa
dari Indonesia.
Kemudiannya kami menghilir ke muara.
Kira-kira dua kilometer dari jeti Pengkalan Kempas, kami dibawa ke Balai
Pemungut Cukai yang juga terbiar.
Terfikir di hati, balai yang bersejarah dan lakaran
bangunan yang pernah termuat dalam salah sebuah jurnal lama ini bagaikan tidak
bermakna kepada pihak yang diberi amanah menguruskan artifak silam ini.
![]() |
Beting Deraka tempat tidurnya |
Selain semak samun, kawasan berhampiran
telahpun dijadikan ladang kelapa sawit. Kedudukannya yang strategik kerana berada
di tanjung dan persimpangan Sungai Rembau dan Sungai Linggi bagai hilang
serinya.
Sewaktu menghilir, kami dapat melihat
persekitaran yang menghijau sambil disapa bayu lembut. Terfikir lagi di hati,
tidakkah cukup indah suasana ini bagi yang sedang bercinta atau yang ingin
berbulan madu.
![]() |
Persimpangan Sungai Rembau-Sungai Linggi |
Kedudukannya yang tidak jauh dari pantai
pelancongan Port Dickson, memudahkan mereka datang ke sini. Bukankah Sungai
Linggi boleh menjadi tarikan sokongan ke Port Dickson? Sekiranya ini berlaku,
pelancong tidak sekadar bermalam di hotel atau apartmen mewah di tepi pantai
malah boleh tinggal beberapa hari di chalet yang didirikan di beberapa tempat strategik
di pesisir Sungai Linggi.
![]() |
Berhampiran muara di jambatan Tanjong Agas |
Kalau Melaka boleh menarik ribuan pelancong
semata-mata kerana adanya river-cruise
di tengah kesibukan Bandar, Sungai Linggi jauh lebih menarik.
Di sini pelancong boleh melihat buaya
sehingga sebesar perahu dalam habitatnya dan sepanjang bulan November hingga Mac
setiap tahun pula, pengunjung boleh menyaksikan ribuan bangau beraksi di
permukaan air dan bermalam di Beting Deraka sewaktu senja.
Sebelum menjejak kembali jeti Pengkalan
Kempas, ribuan kelip-kelip (kunang-kunang) kelihatan berkelipan di pohon.
Ingin
menyaksikan segala-galanya ini? Hubungi Ijan (013-6833595) atau Zulkarnain Mat
Som (012-2545034). Kami cuma dikenakan bayaran RM350.00 untuk perjalanan
kira-kira enam jam itu.
![]() |
Suasana romantik menjelang senja |
salam dato, maaf bertanya,saya pelajar dari USM nak mengetahui lebih lanjut mengenai tempat habitat kunang-kunang tersebut.. boleh ke saya dapatkan no telephone en.zulkarnain tersebut?saya mahu ke kawasan tersebut
BalasPadam